Rabi’ah
binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah
Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah
di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun
kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut
penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir
kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani
Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah.
Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan.
Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan
berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman
hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun
begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus
ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang
dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya
terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk
mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan
diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah
merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan
tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya
menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan
al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan
menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak
kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi
serta keimanan yang mendalam.
Maqam Rabia'h Al-Adawiyah
Menjelang
kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk
setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali
daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang
mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah
hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia
dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah
yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya
seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita
teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat
kepada Allah:
“Ya Allah,
ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang
boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh
mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku!
bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik
telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku!
Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser,
tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada
nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada
dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti
keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian
manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang
tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga
Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur
supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga
pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku!
Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada
keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan
kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang
sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang
menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir
sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam
begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga
bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai
Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya
diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun
Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu,
jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di
atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu,
nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat
cinta kepada-Mu.”
Seperkara
menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan
alasan:
“Perkahwinan
itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada
mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya.
Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah
seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia
terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain
kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya,
pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa
meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap
hari.
Selama 30
tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku!
Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat
memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara
syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku
tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain
Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku
ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi
Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah
telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia
menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati
dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada
kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai
Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan
lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan
Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah
semata-mata.
“Jika aku
menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya!
Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku
daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka
berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar
dan Maha Mulia itu.”
Begitulah
keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan
serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu
ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang
mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang
disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu
mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang
berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana
perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah
kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak
terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah!
Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang
berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya
apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung
kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran
cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah
serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu
jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai
ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat
serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada
Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa
banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu
kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula
dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian
mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti
kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
No comments:
Post a Comment